Ikuti Blog Ini

Kembali ke Malaysia

Isnin, 19 Mac 2012

Dari Bangkok, saya pun memulakan perjalanan untuk balik ke Malaysia. Saya check-out dari hotel pada jam 12.00 tengah hari dan memulakan pemanduan ke selatan. Dalam perjalanan, saya mengisi minyak dahulu sebagai persiapan untuk perjalanan jauh. Saya mengisi sehinggah tangki penuh iaitu sebanyak 1800 Baht (RM180).

Setelah memandu hampir 4 jam, saya pun singgah untuk makan tengah hari di restoran muslim ini. Nama restorannya "Khrua Muslim Sabilillah"

Pemilik restoran ini begitu peramah sekali. Yang menarik adalah masakannya. Saya meminta nasi putih, kari daging, daging masak merah, kari ayam dan kentang (sebut man-farang dalam bahasa Thai) dan ulam-ulaman. Harganya pun berpatutan.

Selepas itu, saya pun meneruskan pemanduan. Dalam perjalanan, saya singgah mengisi minyak lagi. Kali ini saya mengisi sebanyak 1000 Baht dan mendapat hampir 25 liter minyak gasohol.

Perancangan awal, saya sepatutnya bermalam di Phattalung. Tetapi memandang jam sudah hampir ke tengah malam, saya singgah di sebuah hotel di tepi lebuhraya (highway hotel) dan bermalam di sini.

Keesokan harinya, seawal jam 7 pagi, saya pun meninggalkan hotel. Gambar di bawah ini adalah pemandangan hotel tersebut. Di Thailand terutamanya di kawasan selatan, hotel-hotel sebegini banyak terdapat di tepi lebuh raya.

Selepas itu, saya pun meneruskan perjalanan ke Malaysia dan tiba di Johor pada jam 11.30 malam. Sekian sahaja coretan perjalanan Road To Sukhothai saya pada kali ini. Perjalanan selama 8 hari, 7 malam sejauh lebih 5000 km ini memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang turut serta dalam perjalanan kali ini dan terima kasih pada rakan-rakan lain yang memberi semangat.

Pelan Hari 8: Phattalung - Kluang

Ahad, 18 Mac 2012




View Larger Map


Tibalah hari terakhir perjalanan Road to Sukhothai. Hari ini saya akan memandu balik ke Malaysia dan terus ke Kluang, Johor. Pemanduan hari ini adalah sejauh 896 km. Doakan semoga saya selamat sampai dan kembali ke tanah air.

Pelan Hari 7: Bangkok - Phattalung

Sabtu, 17 Mac 2012





View Larger Map


Hari ini telah pun 7 hari saya berada di Thailand. Hari ini juga saya akan meninggalkan Bangkok dan menuju ke selatan. Insya-Allah, akan bermalam di Phattalung. Pemanduan sejauh 840 km. Doakan perjalanan selamat.

Hari Terakhir di Bangkok

Jumaat, 16 Mac 2012

Selepas melawat dua buah masjid di Bangkok, saya pun bergerak ke Wat Arun. Kuil ini terletak berdekatan dengan masjid-masjid tersebut.

Kali ini sudah 4 kali saya melawat kuil ini. Kali pertama semasa saya berusia 12 tahun. Ketika itu saya bersama famili saya melawat Bangkok. Kali kedua semasa tahun 2005 dan kali ketiga semasa perayaan Songkran pada tahun 2009.

Wat Arun ini merupakan mercu tanda utama di Bangkok.

Apa yang menarik,kuil ini terletak di tebing Sungai Chao Phraya.

Kelihatan beberapa ekor ikan berenang-renang di dalam sungai ini.

Selepas berehat sebentar, saya pun meneruskan perjalanan ke Pasar Minggu Chatuchak atau dikenali sebagai Chatuchak Weekend Market. Sungguhpun pasar ini dibuka hanya pada hari Sabtu dan Ahad, kini terdapat banyak kedai yang sudah memulakan perniagaan pada hari Jumaat.

Di Chatuchak ini terdapat beribu-ribu buah gerai yang menjual pelbagai barangan dari haiwan peliharaan, cenderamata, makanan, pakaian hinggalah perhiasan, buku-buku dan banyak lagi.

Selepas hampir 2 jam berada di pasar ini, saya pun memandu balik ke hotel untuk berehat. Tamatlah kembara saya di kota Bangkok kali ini. Esok saya akan memulakan perjalanan balik ke Malaysia.

Melawat Masjid Bangkok pada hari Jumaat

Hari ini adalah hari Jumaat. Lebih afdal rasanya jika saya berkunjung ke masjid pada penghulu segala hari ini. Saya bercadang untuk melawat 2 masjid utama di Bangkok. Masjid pertama yang ingin saya berkunjung adalah Masjid Bangluang. Sudah lama saya ingin berkunjung ke sini selepas menonton sebuah rancangan di TV3 yang dihoskan oleh Fetheri Yahya semasa bulan Ramadan tahun lepas. Masjid ini dibina semasa pemerintahan Raja Rama yang pertama lagi. Untuk sampai ke masjid, saya perlu parkir kereta saya di tepi jalan besar dan melalui lorong di tepi parit besar di belakang rumah penduduk sini.
Beginilah pemandangan masjid dari luar iaitu di pintu masuknya.
Sebaik tiba di masjid, saya terlihat tempat mengambil wuduk ini.
Apabila terpandang menara masjid ini, saya terbayang masjid-masjid yang terdapat di Malaysia.
Walaupun kebanyakan bahagian masjid ini tampak lama dan tradisional, tetapi waktu solat dipaparkan dalam bentuk digital.
Tarikan utama di masjid ini adalah mimbarnya yang mempunyai seni rekabentuk Thai.

Seterusnya saya ke Masjid Tonson. Masjid ini terletak berdekatan dengan Masjid Bangluang. Dalam perkiraan saya lokasinya hanya dalam beberapa ratus meter sahaja. Sekali pandang pada masjid ini, tampak ia lebih moden senibinanya jika dibandingkan dengan Masjid Bangluang tadi.

Sebaik memasuki ruangan masjid, kelihatan ruangan mengambil wuduk ini. Memandangkan waktu solat Jumaat sudah hampir, beberapa jemaah dilihat sedang mengambil wuduk.

Saya pun masuk ke dalam masjid.



Sebaik sahaja berada dalam masjid, suasana dingin menyelubungi. Penghawa dingin sudah siap dipasang untuk menerima kehadiran para jemaah Jumaat sebentar lagi.

Kelihatan kain pelikat dan sejadah tersusun rapi di suatu sisi di dalam masjid ini.

Berdekatan dengan masjid ini juga, terdapat kedai makan yang menjual masakan halal. Saya mengambil kesempatan untuk merasai "thiaw kheng" ini. Rasanya memang lazat sekali.

Sebelum meninggalkan masjid, saya sempat singgah di sebuah kedai menjual cenderamata. Apa yang menarik perhatian saya adalah jualan CD lagu ini yang penyanyinya adalah dari tanah air saya sendiri.

 

Amphawa dan Makanan Muslim Bangkok

Selepas melawat Mae Klong, saya pun memandu ke Amphawa. Dalam perjalanan ke sana, saya mengisi minyak kereta terlebih dahulu. Saya mengisi sebanyak 1000 Baht.

Selepas itu saya meneruskan pemanduan. Gambar di bawah adalah pintu gerbang Amphawa.

Di pekan Amphawa, terdapat pasar terapung. Akan tetapi, pasar terapung ini hanya beroperasi pada hujung minggu sahaja. Di terusan inilah lokasi pasar terapung tersebut.

Sebelum balik semula ke Bangkok, saya singgah di kedai cenderamata Sri Amphawa ini.

Selepas membeli beberapa cenderamata, saya pun memandu ke Bangkok. Dalam perjalanan, saya melalui semula daerah Samut Songkhram. Daerah ini terkenal dengan perusahaan garam air lautnya. Terdapat banyak gerai menjual garam di tepi lebuhraya.

Saya pun meninjau ke salah sebuah gerai yang terdapat di sini. Kelihatan banyak jenis garam yang siap dibungkus dan harganya sangat murah.

Menjelang petang, saya pun tiba di Bangkok dan perut pula terasa lapar. Apa tidaknya, sejak pagi tadi, saya hanya makan roti dan air kopi sahaja. Saya pun singgah di restoran muslim ini yang terletak di Bang Rak berdekatan dengan Silom.

Makanan istimewa di restoran ini adalah nasi beriani.

Selepas makan, saya pun balik ke hotel untuk berehat.

Pasar Mae Klong Atas Landasan

Khamis, 15 Mac 2012

12.30 PM

Saya pun memandu kereta menghala ke Mae Klong untuk melihat pasar di atas landasan keretapi yang terletak lebih kurang 50 km dari Phra Samut Chedi ini.

1.15 PM

Saya melalui pintu gerbang Samut Sakhon.

1.45 PM

Saya melalui pula pintu gerbang Samut Songkhram. Di daerah inilah terletaknya pasar di atas landasan kereta api itu.

Dalam perjalanan, saya lihat banyak terdapat perusahaan memproses garam dari air laut. Kincir angin juga banyak terdapat di sini.

2.15 PM

Saya pun tiba di pasar Mae Klong ini.

Pasar ini terletak di atas landasan kereta api yang masih digunakan. Pelbagai barangan boleh didapati di sini antaranya, sayur-sayuran segar, hasil laut, kuih-muih, selipar malah CD dan DVD.

Saya tertarik melihat manisan kecil ini. Setiap satu berharga 5 baht sahaja.

Ini juga menarik perhatian saya. Katak panggang. Yang ini harganya agak mahal berbanding manisan tadi. Setiap satu 40 baht termasuk sambalnya.

Saya menyusuri pasar ini sehingga ke penghujungnya. Agak panjang juga. Gambar di bawah diambil di penghujung pasar ini.

Beginilah keadaan pasar ini. Ada peniaga meletakkan hasil jualan mereka di atas tanah bersebelahan landasan.

Bagi yang menjual di atas meja troli beroda ini, terdapat landasan dibuat untuk memudahkan mereka menarik hasil jualan ketika ketibaan kereta api.

2.25 PM

Jam menunjukkan pukul 2.25 petang, kereta api dijangka melalui pasar ini tepat jam 2.30 petang. Saya dengan sabar menunggu.

Tidak lama kemudian, kedengaran siren kereta api dan peniaga-peniaga sibuk menarik hasil jualan mereka ke tepi. Payung-payung juga dilipat.

Tepat pada masanya, kereta api pun tiba dan melalui pasar. Masa seolah-olah terhenti dengan hanya kereta api yang bergerak melalui pasar.

Kelihatan pelancong-pelancong lain sibuk mengambil gambar dan video. Saya turut mengambil kesempatan merakam video.

Sebaik sahaja kereta api melalui pasar, peniaga menolak semula jualan, membuka payung yang dilipat dan keadaan menjadi seperti sedia kala.

Di bawah ini saya kongsikan video yang sempat saya rakam semasa kereta api melalui pasar.

Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya melawat pasar ini. Dahulu saya ke sini dengan menaiki bas, kali ini saya memandu kereta sendiri pula. Pengalaman di pasar ini memang menyeronokkan. Selepas melawat pasar Mae Klong ini, saya bercadang untuk memandu ke Amphawa pula yang terletak berdekatan.

Wat Khun Samut Trawat


9.00 AM
Memandangkan saya mempunyai kenderaan sendiri, saya bercadang untuk mengembara ke tempat yang susah dikunjungi tanpa kenderaan sendiri. Hari ini saya akan ke kawasan Phra Samut Chedi iaitu lebih kurang 40 km dari Bangkok. Selepas keluar dari Bangkok, jalan ke sini melalui jalan kampung. Dari jalan besar, saya melalui satu pintu gerbang ini.



Selepas itu, saya dapati jalan ini banyak melalui kawasan penuh air ini.



Kemudian saya melepasi pintu gerbang yang kedua. Di papan tanda tersebut tertera ayat "Song Phra Jaren" yang bermaksud "Dirgahayu Tuanku". Papan tanda seperti ini banyak terdapat di negara Thai. Sayang betul mereka kepada Raja mereka. Selepas ini jalan agak kecil.



Tidak jauh dari situ, saya pun tiba di jeti untuk ke Ban Khun Samut Chin. Saya pun parkir kereta saya di tepi jalan.



Selepas itu saya cuba mendapatkan bot ke Ban Khun Samut Chin. Selepas berbincang dengan pemilik bot, dia bersetuju untuk membawa saya ke sana dengan harga 220 Baht pergi dan balik untuk sebuah bot.
10.45 AM


Perjalanan seterusnya adalah melalui terusan ini. Saya dapati terdapat banyak pokok nipah di setiap tebing. Tambah menarik apabila pemandu bot melajukan enjinnya.



Saya juga dapat melihat jeti kecil dan rumah-rumah kayu. Kebanyakan rumah dibina di atas tiang.



Pada masa yang sama, saya juga terserempak dengan bot lain yang membawa penduduk kampung. Inilah cara mereka bergerak di sini kerana tidak terdapat jalan raya di kawasan ini.



11.00 AM
Lebih kurang 15 minit menaiki bot, saya pun tiba di jeti Ban Khun Samut Chin. Pemandu bot tidak menunggu kami. Saya menyatakan kepadanya supaya kembali mengambil kami satu jam selepas ini. Dia pun bersetuju dan berpesan bahawa untuk ke Wat Khun Samut Trawat, kami boleh menaiki basikal secara percuma. Rupanya inilah basikal yang dimaksudkan. Pihak kerajaan telah menyediakannya secara percuma.



Saya dan rakan pun menaiki basikal tersebut.



Kami berbasikal melalui kawasan terusan. Saya melalui kawasan tengah terusan dan di bawah ini adalah gambar rumah salah seorang penduduk di situ.




Lebih kurang 2 km berbasikal, kami tiba di kawasan berpaya ini.



Saya pun tiba di Wat Khun Samut ini. Jika dilihat, tiada apa yang menarik pada kuil ini. Dindingnya pun kelihatan lusuh dan berlumpur.






Selain itu, pokok bakau juga memenuhi kawasan tepi kuil.



Namun bahagian bumbung kuil masih dalam keadaan baik termasuk ukirannya.



Sebenarnya,kuil ini telah berada di dalam kawasan laut akibat hakisan pantai. Jadi, untuk mengelakkan air laut memasuki kuil, lantai kuil ini telah dinaikkan dari kedudukan asalnya. Tidak hairanlah kuil ini diberikan nama jolokan "Temple of The Sea".




Gambar di bawah menunjukkan lantai kuil telah ditinggikan.



Lantai kuil ditinggikan sehingga melebihi paras bawah tingkap. Ini semua disebabkan oleh hakisan pantai.



Penduduk kampung Ban Khun Samut Chin ini juga telah berkali-kali memindahkan rumah mereka. Selepas melawat kuil, saya ke bahagian pantai. Kelihatan pihak kerajaan telah membina tembok untuk melindungi kuil tersebut.






Kelihatan bot penduduk menyusuri laut untuk mencari rezeki.



Di bahagian pantai juga kelihatan rumah penyembahan yang dipenuhi patung-patung kecil seperti yang saya temui di Sukhothai dan Si Satchanalai tempoh hari.



Kemudian, saya pun bersiap-siaga untuk kembali ke jeti kerana sudah hampir satu jam berada di sini. Sebelum berbasikal balik, saya ternampak krematorium ini. Di sinilah agaknya mayat penduduk kampung ini dibakar.



Seterusnya, saya pun berbasikal semula ke jeti.



12.00 PM
Tepat pada masanya, pemandu bot tiba di jeti dan membawa saya dan rakan-rakan ke jeti asal tempat parkir kereta.



Selepas menghilangkan dahaga, saya pun memandu ke Samut Songkhram untuk melihat pasar di atas landasan kereta api.
 

Popular Masa Kini