Ikuti Blog Ini

Memandu Sekitar Sukhothai Historical Park

Rabu, 14 Mac 2012

Seterusnya saya memandu ke Wat Si Sawai yang terletak bersebelahan dengan Wat Mahathat. Saya dapat parkir kereta betul-betul di hadapan kuil ini.


Apabila melihat tiga prang (menara) ini, saya terbayang sebuah kuil di Lop Buri yang pernah dilawati kira-kira 3 tahun dahulu.

Semua ini menunjukkan bahawa kuil ini pada asalnya adalah suatu tempat ibadat Hindu dan kemudiannya berubah menjadi kuil Buddha.


Apabila meninjau di bahagian sisi kuil, saya menemui pohon ini yang dipenuhi dengan patung-patung kecil dan kebanyakannya saya rasa adalah patung penyembahan Hindu.
Seterusnya saya ke Wat Trapang Ngoen. Wat ini pada asalnya terletak di tengah tasik. Dari tempat parkir kereta, saya ternampak patung Buddha ini juga dalam keadaan berjalan.

Pada viharn kuil, saya ternampak patung Buddha yang besar ini dalam keadaan duduk di atas kelopak teratai.

Seterusnya saya ke Wat Sa Si. Kuil kuno ini asalnya dibina indah di tengah-tengah takungan yang besar yang kini menjadi sebuah tasik. Untuk ke situ, saya perlu menyeberanginya dengan jambatan ini.

Bangunan-bangunan yang penting dalam kuil ini termasuklah Chedi dalam bentuk loceng ini.


Viharn juga luas dan mempunyai banyak tiang.

Saya terpegun melihat keutuhan batu yang menjadi tiang di sini. Bagaimanakah masyarakat Sukhothai mengangkat batu ini dan menjadikannya tiang?

Chedi berbentuk loceng berfungsi sebagai bukti sejarah penyebaran agama Buddha di Sukhothai.


Di bawah ini adalah gambar Wat Sa Si dari sisi. Bayangkan pada zaman dahulu ia dikelilingi air.


Kemudian saya kembali ke kereta. Kelihatan satu deretan basikal diparkir. Untuk makluman, pengunjung ke sini juga boleh menyewa basikal.
Saya meneruskan pemanduan berpandukan peta yang diberi oleh hotel dan juga GPS.



Sebelum meninggalkan taman bersejarah ini, saya bergambar kenangan bersama kereta saya di sisi Wat Mahathat.



Selepas membeli cenderamata di pintu keluar, saya singgah di Muzium Ramkhamhaeng. Bayaran masuk muzium adalah 30 Baht untuk rakyat Thai dan 100 Baht untuk rakyat asing. Saya tidak kisah dengan double-standard. Guna sahaja bahasa Thai, maka dapatlah tiket murah. Disebabkan di dalam galeri muzium, fotografi dilarang, tiada gambar yang dapat dikongsikan. Tetapi saya tertarik dengan satu papan tanda ini.
Dengan itu berakhirlah lawatan saya di Sukhothai. Selepas ini, saya akan memandu pula ke Si Satchanalai Historical Park di utara Sukhothai. Kira-kira 80 km dari sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Popular Masa Kini