Ikuti Blog Ini

Mengisi petrol di Thailand

Selasa, 13 Mac 2012

Mengisi minyak di Thailand menjadi satu hal. Bukan sahaja harganya yang berkali-kali ganda berbanding minyak di Malaysia, jenisnya juga pelbagai.
Gambar di atas ini diambil di stesen minyak PTT (sebut Po Tho Tho) di Prachuap Khiri Khan. Di hadapan stesen akan tertera senarai harga minyak.




Di setiap pam akan terdapat banyak jenis minyak yang boleh dipilih. Semua minyak dilabel dengan tulisan Thai. Berdasarkan gambar di bawah, dari kiri adalah minyak Gasohol E20, Bensin 91 dan Diesel.

Akibat harga minyak Thailand kian melambung, minyak RON 95 dan 97 yang terdapat di Malaysia, semakin kurang dijual di negara ini. Semasa saya memandu kali ini, saya tidak menjumpai stesen minyak di kawasan selatan yang menjual RON 95 atau 97. Hampir kesemua minyak di sini adalah jenis Gasohol, iaitu petrol yang dicampur dengan alkohol.

Oleh kerana kereta saya sudah kehabisan minyak, saya mencuba mengisinya dengan minyak Gasohol E20 (20% alkohol) dari stesen minyak PTT sebanyak 1000 baht. Saya cuma mendapat 26.5 liter minyak sahaja.

Bayangkan dengan harga RM100, tangki minyak kereta saya masih belum penuh lagi.



Stesen minyak di Thailand juga adalah umpama R&R bagi lebuhrayanya. Hampir setiap stesen minyak terdapat kemudahan kedai kopi, 7-eleven, restoran, mesin ATM dan tandas. Gambar di bawah ini diambil di hadapan kedai kopi Cafe Amazon yang banyak terdapat di stesen minyak PTT.


Saya suka singgah di Cafe Amazon ini kerana kopinya sedap dan harganya pun berpatutan. Persekitaran kafe ini juga nyaman dan menyelesakan. Tambah-tambah lagi selepas pemanduan yang jauh.

Selepas minum, saya meneruskan perjalanan. Lega lepas mengisi minyak Gasohol tersebut, kereta saya berjalan dengan lancar tanpa gangguan . Cuma saya dapati, minyak ini menyebabkan kereta saya kurang pick-up. Tetapi apabila memandu dalam keadaan laju, tiada perbezaan.

Dalam perjalanan, saya singgah di Khao Pho Service Area (R&R). Di sini terdapat medan selera, kedai cenderamata dan tandas.


Saya dapati fuel-consumption minyak yang saya isi tadi juga agak tinggi. Saya terpaksa mengisi lagi minyak kereta semasa tiba di Ayutthaya. Kali ini saya memilih Caltex kerana di sini masih terdapat RON 95. RON 95 di Thailand dipanggil Bensin Octane 95.


Saya mengisi sebanyak 1500 baht dan mendapat 32.2 liter minyak.



Lega dapat meneruskan perjalanan ke Ayutthaya dan bermalam di sini.

Klip video di bawah ini dirakam dari dalam kereta semasa saya mencari petrol di Ayutthaya. Dalam klip video ini kedengaran dialog antara saya dan atendan pam. Dengarkan jenis-jenis minyak yang disebut oleh atendan tersebut kepada saya.

1 ulasan

 

Popular Masa Kini