Ikuti Blog Ini

Hari 4: Bertolak ke Nanning dan Berlepas ke Hanoi

Sabtu, 22 Disember 2012

22 Disember 2012

Jam 6:00 pagi, saya pun check-out dari hotel. Dalam kedinginan subuh, saya berjalan kaki ke stesen bas Yang Shou yang terletak kira-kira 1km dari hotel.

Kaunter bas masih ditutup. Mengikut jadual, bas pertama ke Guilin adalah pada pukul 6:45 pagi. Kira-kira pukul 6:30 pagi, baru kaunter tiket bas dibuka. Saya pun membeli tiket bas ke Guilin. Tambangnya 20 Yuan.

Jam 6:45 pagi, bas pun meninggalkan Yang Shou.

Bas meninggalkan Yang Shou
Dalam perjalanan, bas melalui kawasan kampung, lebuh raya dan beberapa universiti.

Plaza tol
Apa yang saya dapati, jalan raya di Guilin agak berlumpur dan kebanyakan kenderaan dalam keadaan kotor.

Jam 8:00 pagi, saya tiba stesen bas Guilin.

Seperti biasa, saya didatangi beberapa touts yang menawarkan kenderaan ke Yang Shou. Hehe. Saya sendiri pun dari Yang Shou. Agak susah juga nak memberitahu mereka yang saya dari Yang Shou!!

Dari stesen bas ke stesen kereta api
 

Mahu tidak mahu, saya mengabaikan mereka dan terus berjalan kaki ke stesen kereta api Guilin. Dalam perjalanan ke sana, beberapa peniaga baru memulakan perniagaan.

Guilin siap ada bank sendiri
Sebelum tiba di stesen kereta api, saya singgah membeli roti. Ditanggung halal.

Sebelum memasuki stesen kereta api, saya bergambar di hadapannya.

Sebaik masuk ke dalam, saya terus ke ruang menunggu sambil makan roti yang dibeli tadi. Saya ingat roti ini panas, rupa sejuk. Sesejuk cuaca Guilin. Nak tak nak, makan saja lah.

Pukul 9:10 pagi, tren pun tiba entah dari stesen mana asalnya. Ini adalah perjalanan kedua saya dengan kereta api dalam trip kali ini. Perjalanan ini akan memakan masa 8 jam sejauh 431 km.

Tren dijadualkan berlepas pukul 9:17 pagi
Sebaik masuk ke dalam, saya melihat penumpang-penumpang memandang saya lain macam saja. Risau juga. Saya abaikan dan terus mencari tempat duduk. Beginilah koc hard-seat yang tambangnya 65 Yuan. Majoriti penumpang adalah rakyat China dari pelbagai wilayah. Saya merasakan tren ini berlepas pada hari semalam lagi memandangkan ada yang masih tidur. Masing-masing muka mencuka.

Lokasi dan kelajuan tren pada pukul 2:53 petang
Cuaca di Nanning hari ini
 

Perjalanan selama 8 jam ini dihabiskan dengan makan kuaci, kacang pecan, biskut, snek dan air minuman.

Dulang disediakan di setiap meja untuk buang sisa makanan
Bersama penumpang China yang sama ke Nanning. Seronok betul dia berkenalan dengan orang asing.
Tren singgah di stesen utama. Penumpang sedia untuk naik
Jam menunjukkan pukul 5:00 petang, tren masih belum tiba di Nanning. Hati saya tidak keruan kerana tren ke Hanoi akan berlepas jam 6:20 petang dari Nanning. Tiket ke Hanoi belum dibeli lagi. Bagaimana dengan imigresen nanti? Sempat ke? Dalam hati saya berkata, "nasib baik aku tukar tiket tren Nanning ini ke perjalanan yang lebih awal semalam."

Jam 5:30 petang, tren tiba di Stesen Kereta Api Nanning. Saya ada masa tidak sampai satu jam untuk ke kaunter dan membeli tiket ke Hanoi!

Ramai penumpang turun di sini dan keadaan menjadi sesak. Dalam kesesakan itu, tiba-tiba rakan saya hilang. Puas mencari tetapi tidak juga ditemui. Hati saya berdebar-debar. Tiket ke Hanoi belum dibeli. Kalau nak beli dulu, kena ada passport. Passport pula berada dengannya. 10 minit mencari, akhirnya bertemu juga. Kami terus berlari ke kaunter 16 untuk membeli tiket ke Hanoi. Lega kerana mendapat tiket.

 

Jam 6:00 petang, saya pun sudah berada di tepi tren Nanning-Hanoi. Ini perjalanan tren ketiga dalam trip kali ini. Perjalanan 10 jam ke Vietnam sejauh 396 km.

Rupanya pemeriksaan imigresen bukan di stesen ini.

Lega mendapat tiket ke Hanoi
Beginilah koc soft-sleeper. Satu kabin ada 4 katil. Tambangnya 248 Yuan (RM 125). Dah merasa naik hard-sleeper dari Shenzhen ke Guilin hari itu, kali ini nak try soft pula.

Sebilik dengan saya di tren ini adalah seorang pelancong dari Thailand. Dia banyak menceritakan prosedur imigresen China-Vietnam di sempadan nanti kerana pernah melaluinya sebelum ini.

Lokasi dan kelajuan tren pada pukul 6:43 petang
Dalam perjalanan, saya singgah ke koc kafe untuk minum malam sebelum tidur.

Koc kafe tren Nanning-Hanoi
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Popular Masa Kini