Ikuti Blog Ini

Bermain salji di Happo-One

Isnin, 16 Disember 2013

16/12/2013
Hari ini adalah hari ke-5 saya berada di Jepun. Sebaik bangun tidur, saya terus ke tingkap dan mendapati salji yang turun malam tadi sudah pun berhenti.
 

Saya pun keluar bilik dan menuju ke pantri untuk membuat air kopi panas. Hotel ini dilengkapi dengan ruang makan dan terdapat heater.



Selepas mandi, saya pun bersiap-siap untuk keluar dari hotel.


Sebaik sahaja keluar, seluruh kawasan diliputi salji tebal.



Bergambar bersama staf di hadapan hotel


Saya sempat membuat snow-ball dan membalingnya kepada rakan.




Saya pun terus melawat kawasan sekitar Happo-One (bukan sebut happo-wan tetapi happo-onnei). Saya sempat meninjau ke kawasan Adam Gondola dan mendapati ramai pemain ski sedang beratur kerana gondola baru hendak beroperasi.


Kelihatan simbol olimpik di bangunan stesen gondola yang menandakan kawasan ini pernah menjadi Tuan Rumah sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 1998 dahulu.



Saya pun menangguhkan hasrat menaiki gondola dahulu. Sambil itu, saya terus berjalan di kawasan Happo-One menuju ke Hakuba-Happo.





Sambil berjalan-jalan, saya singgah di beberapa kedai yang menjual cenderamata. Satu perkara yang menarik perhatian saya adalah jurujual di Jepun amat menitik beratkan pembungkusan barangan yang dibeli. Setiap barangan akan dibungkus dengan rapi menggunakan beg kertas.
 
Setelah puas berjalan-jalan, saya pun menaiki gondola ini.


Gondola bergerak dari stesen Hakuba-Happo ke bahagian yang lebih tinggi.


 

Sebaik tiba di stesen pertengahan, saya dapati ramai pemain ski yang sedang meluncur turun.

 

Daripada termometer yang terdapat di stesen, suhu di kawasan ini adalah -3 darjah Celcius di bawah paras beku.

Tidak lama selepas itu, saya pun menaiki gondola semula untuk turun ke bawah. Dalam perjalanan turun, saya dapati air di tasik ini sudah pun membeku.


Saya juga sempat singgah minum di sebuah restoran di sini.

 

Menjelang pukul 4:30 petang, saya pun kembali ke hotel untuk mengambil beg bagi meneruskan perjalanan ke Kyoto pada malam ini. Dalam perjalanan ke hotel, kelihatan traktor sedang membersihkan salji dari jalanraya.

 

Sebelum meninggalkan hotel, saya sempat bergambar bersama pemilik hotel ini yang sangat peramah.

Dari hotel saya bergerak ke hentian bas Hakuba-Happo dengan kenderaan yang disediakann oleh pihak hotel.
 
Dari Hakuba-Happo, saya menaiki bas menuju ke Nagano. Memandangkan saya mempunyai masa yang agak lama sebelum bas tiba, saya menyimpan beg di dalam lokar ini yang terdapat di stesen Nagano.
 
Harga sewaan lokar yang bersaiz besar ini adalah ¥ 500.

 
Bas ke Kyoto akan berlepas jam 10:00 malam. Sambil menunggu, saya singgah di sebuah kedai buku. Mujur mereka ada menyediakan seksyen buku berbahasa Inggeris. Walaupun sedikit, cukuplah untuk mengisi masa.
Jam 9:30 malam, saya mendapatkan semula beg saya dari lokar. Saya turut singgah di sebuah kedai serbaneka untuk membeli minuman sebagai bekal. Mujur di sini ada dijual minuman bertin yang panas.
 
Jam 10:00 malam, bas ke Kyoto pun tiba.
 
Saya pun terus naik ke atas bas. Saya dapati bagi setiap baris terdapat 3 tempat duduk secara berasingan. Setiap tempat duduk pula dilengkapi dengan langsir.
Di bawah ini adalah tiket bas saya ke Kyoto yang telah saya tempah semalam.
 
Perjalanan mengambil masa 8 jam dan saya dijangka tiba di Kyoto pada keesokan harinya jam 6:00 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Popular Masa Kini