Ikuti Blog Ini

Hari 5: Tiba di Ubon Ratchathani dan memandu ke Thakhek

Isnin, 24 Mac 2014

Hari 3: 24/3/2014
Saya masih lagi di dalam tren menuju ke Ubon Ratchathani. Seawal jam 6:00 pagi saya sudah bangun dari tidur. Seperti biasa, saya membersihkan diri.
Pada ketika ini, tren sudah pun memasuki kawasan Timur Laut negara Thai yang lebih dikenali sebagai isaan. Saya dapati tren melalui kawasan jelapang padi.
 

Jam 8:30 pagi, tren pun tiba di stesen Ubon Ratchathani. Saya tidak sabar-sabar menunggu Tuxedo diturunkan dari gerabak kargo.


Sebaik mendapatkan Tuxedo, saya pun terus memandu ke stesen minyak PTT yang berdekatan. Memandangkan saya telah pun mengisi minyak di Bangkok semalam, hari ini saya hanya perlu mengisi 40 Baht sahaja untuk memenuhkan tangki.
Kemudian, saya bersarapan dahulu di Cafe Amazon yang terdapat di stesen ini.
 

Selepas itu, saya singgah di salah satu pasaraya berdekatan kerana baru mendapat satu tips dari rakan agar membeli penapis untuk menapis minyak di Laos nanti.
 
Kemudian saya pun meneruskan perjalanan ke Chong Mek yang merupakan bandar sempadan. Jaraknya dari Ubon adalah lebih kurang 90 km.
 
Jalan menuju ke Chong Mek juga agak luas.

 
Saya juga melalui kawasan-kawasan yang menarik. Antaranya adalah sungai yang lebar dan juga tasik empangan Sirindhorn.
Jam 11:20 pagi, saya pun tiba di pintu sempadan.
Semasa di pintu keluar dari negara Thai ini, saya perlu menyerahkan kembali surat mengimport kenderaan yang saya terima di Sadao tempoh hari. Selepas passport saya dicop, saya pun bergerak terus ke pintu sempadan Laos iaitu Vang Tao. Lebih kurang 200 meter memandu, saya pun tiba di pintu sempadan Laos.
 
Saya kini telah pun berada di Laos Selatan yang juga merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara ini. Saya pun mencari pejabat imigresen. Saya pun parkir motor saya betul-betul di tepi pejabat tersebut. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah keadaan di sini agak kurang teratur dan agak sunyi.
 
Saya ke bahagian belakang bangunan iaitu terus ke kaunter 6 untuk urusan imigresen kerana tidak perlu membeli visa. Prosedur di sini juga amat mudah iaitu saya perlu mengisi borang arrival dan departure. Selepas itu saya menyerahkan passport. Passport dikumpulkan secara beramai-ramai. 5 minit kemudian, pegawai kastam menghulur keluar passport dari lubang di kaunter sambil menunjukkan gambar pemegang passport tersebut. Selepas mendapati passport tersebut adalah milik saya, saya pun terus mengambilnya. Saya dikenakan bayaran 50 Baht.
Perkara kedua yang perlu saya lakukan adalah mendapatkan permit untuk membawa Tuxedo di dalam Laos. Untuk itu, saya menunjukkan surat kebenaran yang telah saya perolehi dari Kedutaan Laos di Malaysia kira-kira 2 minggu lepas.
 
Surat kebenaran seperti dalam gambar di atas, bukanlah perkara wajib dilakukan tetapi ia digalakkan untuk memudahkan urusan. Selepas itu, pegawai kastam akan menyerahkan permit dalam kertas berwarna hijau seperti dalam gambar di bawah. Bayaran yang dikenakan adalah 100 Baht.
 
Kemudian, saya ke pondok kecil di bahagian belakang pejabat imigresen ini untuk membeli insurans bagi Tuxedo.
 
Bayaran yang dikenakan untuk membeli insurans ini adalah sebanyak 150 Baht. Gambar di bawah adalah merupakan insurans tersebut.
 
Selepas selesai segala urusan, saya pun kembali ke motosikal saya dan mula memandu menuju Pakse. Sebelum keluar dari kawasan pintu sempadan ini, saya perlu singgah di pondok saya terletak kira-kira 100 meter dari pejabat imigresen. Nasib baik rakan saya yang pernah ke sini mengingatkan saya akan hal ini. Setelah ternampak pondok tersebut, saya pun singgah. Pegawai di sini hanya cop pada permit membawa kenderaan yang telah saya perolehi pejabat imigresen tadi.
Kemudian, saya pun meninggalkan pekan Vang Tao menuju ke Pakse. Perkara penting saya perlu saya ingat ialah saya perlu memandu di sebelah kanan di negara Laos. Semasa meninggalkan Vang Tao, saya dapati banyak lori bersusun sebelah kiri.
 
Pada peringkat awal, jalan raya di pintu sempadan agak baik dan kemudian apabila semakin ke dalam, saya dapati jalannya semakin sempit dan kurang baik. Saya dapati kebanyakan kampung di sini, rumah-rumahnya terletak berjajaran di sepanjang jalan.
 

Saya juga perlu lebih berhati-hati kerana banyak kali juga saya terserempak dengan lembu dan kerbau yang melintas jalan.
Saya pun meneruskan perjalanan ke Pakse. Dalam perjalanan, saya melintasi Sungai Mekong.
 

Saya juga singgah untuk mengisi minyak di stesen minyak ini. Tidak kelihatan stesen minyak seperti Shell, Caltex, BHP mahupun PTT di sini.
 

Saya mengisi sehingga tangki penuh iaitu harganya sebanyak 37,886 Kip (RM15) untuk 3.74 liter. Memandangkan saya tidak mempunyai duit Laos, saya membayarnya dengan Thai Baht dan atendan pam memulangkan baki dengan matawang Laos. Sebenarnya, di bandar-bandar besar di Laos, matawang Baht digunakan secara meluas.
Setelah memandu lebih kurang 45 km dari pintu sempadan, jam 1:50 petang, saya tiba di pekan Pakse.
 
Di sini, saya mencari simcard Laos bagi membolehkan saya melayari Internet dan juga menggunakan GPS. Rakan saya mencadangkan agar saya membeli simcard dari Telco Beeline. Saya pun singgah di kedai telefon ini. Jumlah keseluruhan kadsim dan juga top-up hanyalah 15,000 Kip (RM6).
 
Setelah mendapat Internet, saya pun memeriksa peta GPS untuk ke Thakhek. Namun perjalanan saya masih jauh iaitu 333 km lagi.
 
Jam 3:00 petang, saya perasan batu kilometer di sini terdapat dalam dua tulisan. Satu tulisan Laos, satu lagi tulisan rumi. Batu ini berada berselang-seli di sebelah kanan dan kiri jalan bagi setiap kilometer. Selain itu, nama bandar yang dipaparkan pada batu ini juga sentiasa berselang-seli. Savannakhet adalah salah satu kawasan yang akan yang lalui semasa dalam perjalanan ke Thakhek.
 
Setelah memandu agak jauh, jam 4:50 petang, saya berhenti sekali lagi di stesen minyak. Kali ini saya mengisi 24,130 Kip (RM10). Saya sentiasa berwaspada kerana saya dapati stesen minyak di Laos terletak agak jauh antara satu dengan yang lain.
Jam 6:30 petang, hari mulai senja. Saya mulai berasa risau kerana destinasi untuk hari ini masih lagi jauh. Mahu tidak mahu, saya tetap meneruskan perjalanan ke Thakhek. Tambahan pula, hotel untuk penginapan malam ini sudahpun ditempah secara online tempoh hari.
 
Ketika petang, kelihatan kampung-kampung di sini dipenuhi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kanak-kanak sibuk bermain, manakala yang dewasa sibuk menyiapkan diri untuk waktu malam. Hati saya mulai resah apabila hari mulai gelap. Tambah merisaukan hati saya apabila melalui kawasan kampung yang gelap gelita tanpa lampu jalan. Saya nekad dan meneruskan perjalanan. Untuk keselamatan, saya mengekori sebuah pick-up kerana risau kalau-kalau terlanggar lembu yang sedang melintas jalan dalam gelap.
Jam 7:15 malam, saya singgah di sebuah lagi stesen minyak berdekatan Savannakhet. Saya mengisi sebanyak 30,642 Kip (RM13). Dari sini masih ada perjalanan sejauh 100 km ke Thakhek. Disebabkan ketiadaan talian internet di kawasan ini, saya terpaksa bertanyakan arah ke Thakhek.
Menjelang jam 9:00 malam, barulah saya menghampiri pekan Thakhek.
  
Saya menghadapi masalah mencari hotel kerana lokasi yang dipaparkan oleh Google Maps saya tidak menunjukkan lokasi hotel sebenar hotel tersebut. Saya singgah di sebuah kedai dan cuba bertanyakan kepadanya nama hotel tersebut. Dia juga tidak mengetahui lokasi hotel tersebut. Saya memintanya supaya tolong menghubungi nombor hotel yang tertera pada baucer Agoda saya dan akhirnya saya dapat mencari lokasi hotel tersebut. Lega dapat check-in.
 
Lega juga kerana dalam bilik hotel ini terdapat biskut buatan Malaysia yang halal.
 
Sambil menunggu melelapkan mata, saya tertarik dengan berita pencarian MH370 yang menjadi berita utama di Thailand.
 
Klip video di bawah diambil selepas saya memasuki sempadan Laos dan memandu Tuxedo hingga ke Thakhek.

3 ulasan

  1. perghh..memang adventure abis, saya memang suka baca catatan pengalaman pengembaraan spt ni...boleh saudara cerita prosedure untuk dapatkan surat kebenaran dari kedutaan Laos. Saya pernah cuba masuk Cambodia dgn kereta sendiri tp gagal , mrk minta surat sokongan dari kedutaan Cambodia di KL

    BalasPadam
  2. sy ingin mohon bantuan tuan... boleh tolong tel sy semula di nombor 012 6409640... mesej pun xper...terima kasih tuan...along

    BalasPadam

 

Popular Masa Kini